LUMUT MEREDEKA SWIM 2022

Kibaran jalur gemilang memeriahkan bandar Lumut pada hari ini. Nyanyian lagu Saya Anak Malaysia dan Jalur Gemilang megah berkumandang dengan dinyanyikan oleh perenang-perenang yang telah berjaya menamatkan misi dua hari renangan sejauh 23km bermula semalam, 27 Ogos 2022. Turut sama meraikan ketibaan mereka ialah YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato Shaharudin Haji Nazari, OBJ Manjung, YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir, ADUN Pangkor, YBhg. Laksamana Muda Dato’ Anuar Mohamed, Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tuan Syamsul Hazeman Md. Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Syabas dan tahniah diucapkan kepada TLDM yang berjaya menganjurkan program Lumut Merdeka Swim 2022 ini. Kami di Majlis Perbandaran Manjung amar berbesar hati diberi peluang untuk bersama-sama TLDM dalam penganjuran yang sangat bermakna ini. Lumut Merdeka Swim ini merupakan acara pertama kolaborasi antara MPM dan TLDM. MPM dan TLDM akan terus bekerjasama untuk program dann acara yang akan datang terutamanya bagi acara yang membantu memperkenalkan Lumut sebagai bandar Tentera Laut.

Hasil kerja keras semua pihak terbalas dengan penganjuran yang sangat meriah ini. Selama dua hari pengunjung dihidangkan dengan pelbagai acara menarik seperti Tempur Tanpa Senjata, persembahan dari Gelombang Biru, kawad senyap, pancaragam dan banyak lagi acara menarik. Kemuncak program ialah ketibaan perenang-perenang yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Dari perenang cilik yang berusia 7 tahun sehingga ke perenang veteran yang berusia 60 tahun turut sama berenang melawan arus dengan satu matlamat, untuk bersama-sama menuju ke destinasi dan meraikannya sebagai sebuah keluarga Malaysia dan nilai KEBERSAMAAN seperti dalam tonggak Keluarga Malaysialah yang mereka bawa sepanjang renangan.

Kejayaan penganjuran adalah berkat semua pihak yang berganding bahu merealisasikan acara pada hari ini. Syabas diucapkan kepada semua! Semoga hari kita akan terus berkobar-kobar menanti tarikh keramat 31 Ogos ini nanti.

Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial,

Majlis Perbandaran Manjung