PROGRAM PUBLISITI AWAL KAJIAN RANCANGAN KAWASAN KHAS (RKK) PULAU PANGKOR

Program Publisiti Awal Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pulau Pangkor telah berlangsung dengan jayanya pada jam 8.30 pagi ini di Kejora Garden Resort, Pulau Pangkor.

Program ini dihadiri oleh Encik Mohamed Zamri Mohd, Pengarah Pejabat Projek Zon Tengah, Puan Norafidah Haji Salleh, Penolong Pengarah PLANMalaysia Perak dan TPr Muhamad Helmy Abdul Hadi, Ketua Jabatan Perancang Bandar, selaku wakil Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Program ini mendapat sambutan 105 peserta daripada agensi-agensi daerah Manjung dan negeri Perak, agensi-agensi swasta, Ahli-ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Pangkor.

Secara khususnya, program ini bertujuan untuk memaklumkan mengenai penyediaan RKK dan mendapatkan maklum balas berkenaan isu, masalah, hasrat dan aspirasi penduduk tempatan dan pihak berkepentingan di semua peringkat terhadap pembangunan Pulau Pangkor pada masa hadapan.

RKK merupakan satu dokumen perancangan yang mengandungi komponen seperti rancangan terperinci yang bercorak tempatan dan mempunyai ciri-ciri kepentingan khusus.

Penyediaan RKK dalam membentuk Pulau Pangkor sebagai Smart Island adalah selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Perak yang meletakkan Pulau Bebas Cukai ini antara projek yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan pelancongan dan maritim yang akan memberi impak kepada kemasukan pelancong ke Pulau Pangkor.

MPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PLANMalaysia yang telah bekerjasama dalam menjayakan Program Publisiti Awal Kajian RKK Pulau Pangkor pada pagi ini dan kita bertemu lagi pada sesi rundingan yang akan datang.