Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Manjungku Makmur, Bandar Pelancongan dan Maritim.
Terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan kudrat, iradat dan inayah-Nya, kita dapat mengharungi tahun 2022 dengan lancar dan jayanya serta diberi keizinan untuk melangkah ke tahun 2023.
Majlis Perbandaran Manjung (MPM) komited dalam menyampaikan pelbagai maklumat khususnya berkaitan perkhidmatan dan program yang dilaksanakan kepada orang awam. Justeru, selain media sosial, laman web yang informatif, interaktif dan mesra pengguna memainkan peranan penting yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan. Selaras dengan perkara tersebut, MPM telah menaik taraf laman web agar sebarang maklumat dapat disampaikan dengan cekap, pantas dan tepat. MPM juga mengalukan-alukan cadangan atau idea daripada para pengunjung laman web ini untuk dijadikan inspirasi dalam membentuk sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mampu memenuhi kehendak dan kepuasan semua pihak khususnya komuniti daerah Manjung.
Daripada segi pencapaian pada tahun 2022, MPM telah melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan. Antaranya ialah Johan Pertandingan Keceriaan Hari Kebangsaan Negeri Perak 2022 Kategori Majlis Daerah (PBT), Johan Festival Koir PBT Negeri Perak Piala YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Anugerah MiSHA Excellence Award on OSH Risk Management in Government Sector 2022 on MiSHA Inaugural Nattional Excellence Awards on OSH Principle of Prevention (PoP) 2022 dan Anugerah Gold Class II Award MSOSH Occupational Safety and Health 40TH MSOSH Award.