MEMPERKASA INKLUSIVITI PELAJAR OKU DALAM EKO PELANCONGAN MELALUI SENI VISUAL
14 September 2023 & 21 September 2023
11 Oktober 2023 & 18 Oktober 2023
Pada 14 dan 21 September PULIH ART STUDIO telah menganjurkan Program Memperkasa Inklusiviti Pelajar OKU dalam Eko-Pelancongan Melalui Seni Visual (MIPODEPMSV), dengan kerjasama United Nation Development Programme (UNDP) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bertempat di Laman Karya Lumut (LAKAR). Program ini merupakan aktiviti di bawah geran pelancongan lestari yang bertujuan untuk menjadikan eko-pelancongan dan seni visual sebagai terapi kepada murid dan pelajar OKU tetapi turut menjadi titik permulaan dalam menjadikan daerah Manjung sebagai Pusat Kesihatan Pelancongan (Health Tourism Centre).
Program serampang dua mata yang melibatkan eko-pelancongan dan seni visual ini adalah yang julung kali diadakan di daerah Manjung dan akan berlangsung bermula September 2023 hingga Mei 2024. Program tersebut melibatkan seramai 10 orang pelajar dari 10 buah sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di daerah Manjung yang meliputi 10 siri lawatan sambil belajar dan 10 siri kelas seni visual.
Program ini dimulakan dengan lawatan sambil belajar ke tiga lokasi eko-pelancongan di daerah Manjung dan usai lawatan para pelajar akan mengikuti kelas seni visual di Pulih Art Studio.
Antara lokasi yang terlibat adalah Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari, Pusat Ekopelancongan Taman Paya Bakau Bandar Lumut dan Bukit Tiga Ratus Teluk Batik.
Kelas seni visual pula adalah kelas seni akrilik, seni kolaj dan seni diorama.
Siri pertama telah berlangsung pada 14 September, sekolah yang terlibat adalah SK Seri Bayu. Siri kedua pula telah diadakan pada 21 September adalah SK Pangkalan TLDM II. Kategori OKU adalah masalah pendengaran, kurang upaya intelektual, Disleksia, Masalah Pembelajaran dan Autism.
Manakala untuk siri ketiga dan keempat pula akan diadakan pada 11 dan 18 Oktober. Sekolah yang akan terlibat adalah SMK Seri Samudera dan SMK Pangkalan TLDM.
Antara kebaikan program ini adalah para pelajar bukan saja dapat menambah input tentang eko-pelancongan tetapi dalam masa yang sama dapat memperbaiki lagi beberapa sensori pelajar OKU antaranya seperti sensori keseimbangan (vestibular sensory) disamping mengasah motor seni halus (fine motor skill).