
𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐓𝐀𝐔𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐄𝐌𝐈𝐒 𝐌𝐀𝐊𝐀𝐍𝐀𝐍 𝐃𝐈 𝐒𝐄𝐑𝐈 𝐌𝐀𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐓𝐈𝐀𝐖𝐀𝐍
10 APRIL 2025 (KHAMIS) – Unit Premis Makanan dan Penjaja, Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan (UPMP, JPP), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah melaksanakan satu operasi pemantauan dan penggredan premis makanan di sekitar kawasan Seri Manjung dan Sitiawan yang melibatkan seramai 8 anggota penguat kuasa. Operasi ini dijalankan bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 13 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk notis pematuhan syarat pelesenan, notis permit belakang premis, notis permohonan lesen, tindakan pembersihan premis serta pindaan dan tambahan transaksi pelesenan. Selain itu, 3 kompaun telah dikenakan atas kesalahan tidak memiliki permit meja, tidak memperbaharui lesen, dan beroperasi tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh pihak Majlis. Sebuah premis makanan turut dikenakan arahan penutupan oleh pihak berkuasa bagi tujuan pelaksanaan tindakan pembersihan, selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.
MPM menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan dan syarat pelesenan yang ditetapkan. Para pemilik premis makanan dan peniaga disarankan agar sentiasa memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan dan pematuhan undang-undang sentiasa berada pada standard yang telah ditetapkan demi kesejahteraan pengguna.


