Pindaan Terhadap Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974

Pada 15 Februari 2007 perwartaan terhadap pindaan ke atas Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dibuat dan tarikh pemakaian pindaan tersebut terhadap negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah tertakluk kepada pemberitahuan melalui warta.

Secara umum pindaan terhadap Akta 133 adalah menyentuh kepada proses pengeluaran sijil layak menduduki (certificate of fitness for occupation) oleh pihak berkuasa tempatan terhadap bangunan-bangunan yang dibina atau diubahsuai yang kini dipinda dengan memperkenalkan proses pengeluaran sijil perakuan siap dan pematuhan ( certificate of completion and compliance) sebagai ganti sijil layak menduduki dan meletakkan tangunggjawab terhadap badan-badan profesional seperti arkitek dan jurutera.

Selain daripada itu pindaan juga dibuat terhadap kadar denda yang boleh dikenakan atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 133. Antaranya kesalahan membina bangunan tanpa kelulusan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000.00 berbanding sebelum ini RM1,000.00 dan juga boleh dikenakan penjara tidak melebihi 3 tahun. Begitu juga dengan kesalahan membuat pindaan, penambaan atau pengubahsuaian bangunan yang boleh dikenakan denda sehingga RM25,000.00 berbanding sebelum ini RM1,000.00.

Pindaan juga melibatkan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang mana peruntukan berkenaan dengan Sijil Layak Menduduki yang ditukar kepada Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan mengkehendaki juga pihak arkitek atau jurutera memaklumkan pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan kepada pihak berkuasa tempatan. Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan masih mempunyai kuasa memantau dan boleh mengarahkan arkitek atau jurutera melaksanakan apa-apa keperluan berdasarkan kelulusan yang diberikan.