MENU
 
>
MAJLIS ANGKAT SUMPAH AHLI-AHLI MAJLIS MPM SESI 2021/2023
Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Sesi 2021/2023 telah berlangsung pada hari ini, jam 8.30 pagi secara atas talian melalui aplikasi Google Meet.
Upacara angkat sumpah ini melibatkan 25 Ahli Majlis termasuk Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Yang Dipertua. Majlis ini dihadiri oleh YB Dato' Nolee Ashilin Dato' Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak yang turut menyampaikan ucapan mewakili Kerajaan Negeri.
Dalam ucapannya, beliau menyampaikan sekalung tahniah kepada semua Ahli Majlis yang dilantik. Beliau turut memaklumkan bahawa Ahli-ahli Majlis berperanan sebagai instrumen yang penting dalam hierarki sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan turut menjadi pendokong dasar pembangunan negara dan negeri Perak secara amnya. Ahli-ahli Majlis turut berperanan sebagai Area Officer dan penyampai dasar-dasar PBT kepada rakyat selain berfungsi sebagai tenaga penggerak kepada program-program PBT. Justeru, Ahli-Ahli Majlis perlu menjalin kerjasama bukan sahaja dengan pihak pengurusan dan warga kerja PBT malah harus mempunyai hubungan yang baik dengan jabatan-jabatan daerah agar pelbagai urusan dapat dipermudahkan demi kepentingan rakyat.
Selain itu, Ahli-ahli Majlis juga perlu meningkatkan pengetahuan berkaitan peraturan dan sistem perundangan PBT yang akan memberi panduan tentang tindakan yang harus dilaksanakan dalam menjalankan tugas dan maklumat tepat dan lengkap dapat disalurkan kepada masyarakat supaya dapat meningkatkan pemahaman dan mengelakkan berlakunya salah tanggapan terhadap PBT.
Manakala Yang Dipertua pula dalam ucapan aluan beliau memaklumkan bahawa MPM sentiasa menyokong dasar kerajaan dalam mengutamakan rakyat dan berharap agar Ahli-ahli Majlis turut bersama-sama dalam pelaksanaan dasar ini. Oleh yang demikian, Ahli-ahli Majlis diseru untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa ada sentimen politik dan kaum. Di samping itu, beliau berharap agar aktiviti yang dilaksanakan oleh Ahli-ahli Majlis sebagai Area Officer di peringkat zon masing-masing nanti akan berjalan dengan lancar dan meninggalkan impak yang berkesan kepada komuniti setempat.
Pelantikan ini melibatkan 24 Ahli Majlis yang dilantik semula dan seorang Ahli Majlis lantikan baharu. Ahli Majlis lantikan baru tersebut ialah Puan Norhaslinda Zakaria daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Secara keseluruhannya, daripada semua Ahli Majlis yang dilantik, 13 daripada Parti Barisan Nasional, 6 daripada Parti BERSATU dan 5 daripada Parti PAS. Tempoh perkhidmatan Ahli-ahli Majlis ini adalah selama 2 tahun iaitu sehingga 30 April 2023.
Turut hadir ialah Encik Mohd Helmi bin Arifin, Setiausaha Perbandaran, wakil daripada Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan barisan Pengarah, Ketua Jabatan dan Ketua Unit MPM.
UNIT KORPORAT DAN PERHUBUNGAN AWAM, MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG