Selaras dengan dasar pendigitalan perkhidmatan oleh kerajaan dan senario penularan wabak COVID-19, Majlis Perbandaran Manjung mengambil inisiatif untuk memperluaskan kaedah pendigitalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Langkah ini sejajar dengan trend baharu pembangunan melalui penggunaan Internet of Things (IoT) dalam menjayakan agenda bandar pintar yang juga merupakan selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.
Teknologi
Dengan tagline “Kaunter Digital Anda”, Majlis Perbandaran Manjung telah mewujudkan aplikasi myMANJUNG yang memudahkan pelanggan berurusan secara dalam talian. Selain menyediakan perkhidmatan semakan dan bayaran cukai taksiran, sewaan, kompaun, lesen dan aduan, aplikasi ini juga akan diperluaskan kepada perkhidmatan-perkhidmatan lain untuk dinikmati oleh masyarakat. Manakala bagi mewujudkan sistem pelesenan yang lebih sistematik, Majlis Perbandaran Manjung telah memperkenalkan Sistem Premis Digital myPATIL yang diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih bagi menggantikan kaedah lesen konvensional. Inisiatif ini telah menjadikan Majlis Perbandaran Manjung sebagai Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Malaysia melaksanakan lesen premis digital. Selain memudahkan urusan pembaharuan lesen dan membantu peniaga mengembangkan perniagaan, inisiatif ini juga memudahkan kawalan dan pemantauan pelesenan oleh Majlis Perbandaran Manjung.
Memandangkan usaha untuk mendigitalkan perkhidmatan ini telah menghasilkan impak yang positif bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kepada Majlis Perbandaran Manjung, langkah ini akan diteruskan melibatkan pelbagai perkhidmatan yang lain pada masa hadapan agar Majlis Perbandaran Manjung kekal berdaya saing.