𝟐𝟒 𝐅𝐄𝐁𝐑𝐔𝐀𝐑𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟑 (𝐉𝐔𝐌𝐀𝐀𝐓) – Yang Berhormat Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak telah mengadakan lawatan ke daerah Manjung pada jam 2.30 petang.
Lawatan ini turut disertai oleh Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua MPM, barisan ADUN daerah Manjung, Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran, Puan Shanmuga Sundary A/P Muniandy, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerajaan Tempatan, barisan Pengarah, Ketua Jabatan dan Ketua Unit MPM serta rakan-rakan media.
Yang Berhormat telah mengadakan lawatan ke premis perniagaan yang dipasang Lesen Premis Digital myPATIL. Semasa lawatan ini, beliau telah diberi penerangan berkaitan kaedah pelaksanaan dan penggunaan lesen ini yang telah menjadi penanda aras yang akan diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak mulai Januari 2023.
Selain itu, Yang Berhormat juga mengadakan lawatan ke Sitiawan Settlement Muzium iaitu sebuah muzium di Desa Koh, Sitiawan dan berpeluang ke Art Street Kampung Koh iaitu kawasan tarikan baharu yang mempunyai mural berkonsepkan warisan Kampung Koh.
Lawatan diteruskan lagi ke Taman Paya Bakau Bandar, Lumut bagi melihat kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan Taman Paya Bakau serta penjagaan kebersihan dan keindahan taman ini. Beliau juga berkesempatan menanam anak pokok di sini. Selain itu, Yang Berhormat membuat lawatan ke Teluk Batik, Pejabat Pengurusan Pelancongan Teluk Batik, Pantai Teluk Batik, Teluk Batik Campsite dan Dataran Teluk Batik.
Yang Berhormat turut mengadakan lawatan ke Lumut Waterfront dan Tandas Esplanade Lumut yang telah memenangi tempat pertama serta mencapai Penarafan 5 Bintang dalam Kempen Kesihatan Persekitaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Program Tandas Awam Bersih) Tahun 2021. Tandas ini juga memperoleh The Second ASEAN Public Toilet Award 2023-2024 di ASEAN Tourism Forum 2023 pada 5 Februari 2023.
Justeru, MPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak atas lawatan ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi pada masa yang akan datang.