
𝐔𝐉𝐈 𝐂𝐔𝐁𝐀 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐈𝐍𝐎𝐕𝐀𝐒𝐈 𝐁𝐎𝐋𝐋𝐀𝐑𝐃 𝐌𝐄𝐒𝐑𝐀 𝐖𝐇𝐄𝐄𝐋𝐂𝐇𝐀𝐈𝐑 (𝐁𝐌𝐖)
23 FEBRUARI 2025 (AHAD) – Sempena Majlis Peluncuran Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak Darul Ridzuan, Kumpulan Inovasi Tetap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah melaksanakan uji cuba bagi projek inovasi Bollard Mesra Wheelchair di Esplanade Lumut.
Ujian ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, bersama YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan; serta Puan Haslinda binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Turut hadir Tuan Muhammad Faizal Shah Safian Suri, Yang Dipertua MPM; Tuan Shamsul Ridzuan Idris, Pegawai Daerah Manjung; barisan Ahli Majlis, serta Pengarah Kanan dan Pengarah MPM.
Ujian ini bertujuan menilai keberkesanan, keselesaan, serta aspek penambahbaikan inovasi ini. Pembangunan Bollard Mesra Wheelchair merupakan sebahagian daripada inisiatif MPM dalam meningkatkan kemudahan akses kepada pengguna Orang Kurang Upaya (OKU) di taman-taman awam, sambil memastikan kawasan tersebut kekal bebas daripada pencerobohan motosikal.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen MPM dalam membangunkan bandar yang lebih inklusif dan mesra OKU. Uji cuba yang dilaksanakan membolehkan pihak berkuasa dan masyarakat mengenal pasti cabaran serta menyesuaikan infrastruktur dan perkhidmatan agar lebih mesra kepada golongan OKU. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup mereka, tetapi juga mencerminkan sebuah komuniti yang prihatin, progresif, dan mampan.



