
𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐆𝐎𝐓𝐎𝐍𝐆-𝐑𝐎𝐘𝐎𝐍𝐆 𝐁𝐄𝐍𝐂𝐀𝐍𝐀 𝐏𝐀𝐒𝐂𝐀 𝐁𝐀𝐍𝐉𝐈𝐑 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐒𝐊𝐔𝐀𝐃 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈 𝐌𝐏𝐌 𝐃𝐈 𝐏𝐔𝐋𝐀𝐔 𝐏𝐀𝐍𝐆𝐊𝐎𝐑
8 APRIL 2025 (SELASA) – Telah berlangsung Program Gotong-Royong Bencana Pasca Banjir di Pulau Pangkor bersama Skuad MADANI Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada jam 8.00 pagi. Program ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif kemanusiaan MPM dalam usaha membantu komuniti setempat yang terkesan akibat kejadian banjir yang melanda pada 4 April 2025 yang lalu.
Penganjuran program ini bertujuan untuk membersih dan memulihkan kawasan yang terjejas, di samping meringankan beban penduduk melalui pendekatan gotong-royong yang melibatkan penyertaan aktif Skuad MADANI dan komuniti tempatan. Ia juga mencerminkan solidariti serta keprihatinan MPM terhadap kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan yang terlibat.
Turut hadir semasa program ini ialah Tuan Haji Mohd Rafiq Haji Mohd, Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Perak Dun Pangkor; barisan pengarah MPM, serta seramai 60 Ahli Skuad MADANI yang turut berganding bahu bersama komuniti setempat menjayakan gotong-royong ini.
MPM berharap usaha murni ini dapat menyemai semangat kebersamaan, memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dalam menghadapi cabaran pasca bencana.


