
𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐀𝐊𝐀𝐃𝐄𝐌𝐈𝐊 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐓𝐄𝐊𝐍𝐈𝐊 𝐒𝐔𝐋𝐓𝐀𝐍 𝐈𝐃𝐑𝐈𝐒 𝐒𝐇𝐀𝐇, 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐍𝐆𝐎𝐑 𝐊𝐄 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐋𝐔𝐏𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐌𝐏𝐀𝐇 𝐌𝐏𝐌 𝐃𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐋𝐎𝐉𝐈 𝐖𝐀𝐒𝐓𝐄 𝐓𝐎 𝐄𝐍𝐄𝐑𝐆𝐘 𝐃𝐈 𝐓𝐄𝐋𝐔𝐊 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐊𝐔𝐃𝐔, 𝐒𝐄𝐆𝐀𝐑𝐈
14 APRIL 2025 (ISNIN) – Seramai 35 mahasiswa Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor telah mengadakan lawatan akademik ke Tapak Pelupusan Sampah Majlis Perbandaran Manjung (MPM) serta ke tapak Projek Loji Waste to Energy (WTE) di Teluk Mengkudu, Segari.
Lawatan ini diketuai oleh Puan Ernie Zulkifli, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi bersama dua orang pensyarah PSIS. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Azmi Abdullah, Pengarah Urusan A & Z Power Generation Sdn. Bhd.; Puan Siti Nur Asyikin Mohd Fikri, Penolong Jurutera MPM serta barisan pegawai dari Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan MPM.
Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa berkenaan pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan milik MPM serta memperkenalkan teknologi baharu pengurusan sisa melalui pelaksanaan sistem Waste-to-Energy (WTE) – Anaerobic Digestion yang sedang diaplikasikan di lokasi tersebut.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh pihak A & Z Power Generation Sdn. Bhd., diikuti dengan lawatan ke tapak bagi meneliti secara lebih dekat operasi loji WTE dan proses pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan berkenaan.



