
𝐆𝐎𝐓𝐎𝐍𝐆 𝐑𝐎𝐘𝐎𝐍𝐆 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐈𝐇 𝐈𝐍𝐃𝐀𝐇 (𝐆𝐁𝐈) 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐄𝐏𝐀𝐃𝐔 𝐃𝐈 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐒𝐀𝐍 𝐆𝐄𝐑𝐀𝐈 𝐓𝐄𝐋𝐔𝐊 𝐍𝐈𝐏𝐀𝐇
21 FEBRUARI 2025 (JUMAAT) – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah melaksanakan Program Gotong Royong Bersih Indah (GBI) Bersepadu di Kawasan Gerai Teluk Nipah bermula jam 9.00 pagi.
Program ini telah mendapat sokongan serta penyertaan daripada pelbagai pihak, termasuk Tuan Hj. Rafiq Mohd, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak (DUN Pangkor), yang turut hadir bagi menyokong inisiatif ini. Program ini diketuai oleh Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran MPM bersama Pengarah Kanan dan Pengarah MPM, wakil jabatan dan unit MPM, Persatuan Rekreasi Pangkor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Penghulu Pulau Pangkor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), wakil penduduk dan kontraktor pembersihan MPM.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan kawasan sekitar gerai Teluk Nipah, tetapi juga untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan, terutama di kawasan pelancongan utama seperti Pulau Pangkor. Keindahan dan kebersihan sesuatu tempat bukan sahaja mencerminkan imej negeri tetapi juga memberi pengalaman yang lebih baik kepada para pelancong yang berkunjung ke sini.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan dijadikan inspirasi untuk lebih banyak program seumpama ini di masa akan datang.


