USAHA TIDAK AKAN MENGKHIANATI HASIL
Alhamdulilah pada hari ini (5 Februari 2023) bertempat di Hotel Marriott Yogyakarta, Indonesia, Majlis Perbandaran Manjung telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila Tandas Awam Esplanade Lumut telah menerima anugerah The 2nd ASEAN Public Toilet Award 2023-2024 di ASEAN Tourism Forum 2023.
Tandas Awam Esplanade Lumut ini mula menempa kejayaan apabila telah mendapat tempat pertama serta mencapai penarafan 5 bintang dalam Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Terbersih dalam Kempen Kesihatan Persekitaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Program Tandas Awam Bersih)pada tahun 2021.
Berkat hasil usaha serta komitmen untuk mengekalkan penganugerahan yang telah diterima pada tahun 2021 di peringkat kebangsaan, Tandas Awam Esplanade Lumut kini berjaya mengangkat nama daerah Manjung di persada antarabangsa. Pencalonan dan penganugerahan adalah berdasarkan kategori tandas awam Esplanade Lumut yang berada di lokasi pelancongan dan mempunyai ciri-ciri “wow factor” seperti elemen kitar semula, di dalam dan di luar tandas serta mempunyai taman herba yang mempunyai pelbagai jenis herba sebagai landskap bagi mengindahkan lagi kawasan tandas tersebut.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Bahagian Kerajaan Tempatan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak atas kepercayaan dan sokongan yang padu kepada MPM.
Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya kakitangan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, MPM yang telah berjaya membantu MPM mendapat anugerah yang berprestij ini.
Tahniah juga buat empat rakan PBT Malaysia lain iaitu Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Daerah Kota Tinggi yang turut sama mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Akhir sekali, terima kasih tidak terhingga kepada seluruh penduduk Manjung yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada MPM sehingga MPM mampu melakar sejarah pada hari ini.
Usaha MPM tidak akan terhenti di sini. Kami di MPM akan terus komited untuk meningkatkan taraf tandas-tandas awam lain namun pastinya sedikit masa dan kos diperlukan untuk tandas-tandas yang sebelum ini diselenggara oleh pihak operator.
Semoga usaha ini akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t dan daerah ini akan terus makmur dan berjaya di masa akan datang.