Pihak pengurusan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan rasa penuh rendah diri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di atas pengiktirafan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik Tahun 2020. Majlis Perbandaran Manjung juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak di atas sokongan yang diberi bagi membantu MPM memberikan perkhidmatan terbaik sehingga menerima pengiktirafan lima bintang di Majlis Penganugerahan Bintang Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 5 November lalu.

Penganugerahan ini adalah hasil komitmen semua pihak yang terlibat terutamanya warga kerja MPM yang bertungkus lumus mengerah tenaga dan idea bagi memastikan MPM memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di daerah Manjung. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah juga kepada seluruh komuniti kawasan perbandaran Manjung yang sentiasa memberikan sokongan selama ini.

Penilaian dan pemarkahan yang diberi oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah meletakkan MPM sebagai PBT terbaik di Malaysia dengan markah tertinggi iaitu 98.73%. Kejayaan ini merupakan pendorong semangat kepada pihak MPM untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada hampir 257,000 warga Manjung.

Walaupun usaha ini mencabar namun MPM akan meneruskan momentum ini di samping menambah baik perkhidmatan yang diberikan dengan sepenuh komitmen daripada tenaga kerja MPM. Ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, marilah kita bersama-sama mematuhi SOP dan berganding bahu bagi memerangi wabak ini. Semoga keadaan negara pulih seperti biasa dan kita dapat meneruskan pembangunan yang lebih rancak di Manjung untuk kemakmuran bersama.

UNIT KORPORAT DAN PERHUBUNGAN AWAM,

MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG