TABURKAN JASA, SEMAIKAN BUDI PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI RAKAN PUSAT ISLAM POLITEKNIK SULTAN AZLAN SHAH (RAPI PSAS) DI PANTAI TELUK SENANGIN
17 September 2023 (Ahad) – Pantai Teluk Senangin menjadi destinasi pilihan bagi tujuan Program Khidmat Komuniti Kelab Rakan Pusat Islam Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang bagi melaksanakan aktiviti memupuk semangat kesukarelawanan dikalangan para pelajar.
Seramai 37 orang pelajar dan 2 orang Penasihat Kelab RAPI PSAS, Puan Aishah Mohamad Said dan Puan Marina Samsudin telah berkolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3 Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam aktiviti pembersihan sampah sarap di pesisiran pantai awam.
Program tersebut mampu menjalinkan mahabah dan ukhuwah bersama warga komuniti Teluk Senangin dan pengunjung yang menjadikan pantai tersebut sebagai tempat beriadah dan beristirehat keluarga.
Objektif program yang dilaksanakan bertujuan membentuk jiwa insan yang prihatin terhadap kebersihan alam sekitar terutama di pantai tumpuan awam disamping memupuk semangat kerjasama dikalangan pelajar.
Sebanyak 46 kg sampah sarap dapat dikutip oleh peserta di sepanjang pesisiran pantai sepanjang 7km tersebut dalam tempoh 2 jam. Kebanyakkan sampah yang dikutip terdiri daripada bahan yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula.
Semoga tenaga yang dicurahkan oleh Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang pada hari ini dikira sebagai amal soleh yang menjadi ‘pelaburan’ pahala untuk saham di akhirat nanti.