RUKYAH HILAL RAMADAN 1444H / 2023M JABATAN MUFTI NEGERI PERAK DENGAN KERJASAMA AGENSI KERAJAAN
22 Mac 2023 (Rabu) – Lokasi Pantai Pasir Panjang, Segari menjadi tumpuan umum pada petang ini sempena Majlis Rukyah Hilal Ramadan tahun 1444H/2023M.
Saban tahun lokasi ini menjadi tumpuan umat islam negeri Perak kerana setiap tahun sebanyak 3 kali majlis mencerap anak bulan akan berlangsung di lokasi ini iaitu Mencerap Anak Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.
Pada petang ini YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Haji Zaidi Wan Teh, Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, Orang Besar Jajahan Negeri Perak termasuk Orang Besar Jajahan Manjung YDH Toh Seri Bijaya Lt.Kol.(B) Dato’ Shaharudin Haji Nazari, antara tetamu terhormat lain yang turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pegawai Daerah Manjung, Timbalan Mufti Negeri Perak serta ketua dan wakil agensi kerajaan persekutuan dan negeri, siswa dan siswi dari Pusat Pendidikan Tinggi Awam.
Program dimulakan dengan majlis bacaan tahlil, diikuti dengan ceramah ambang Ramadan dan taklimat kedudukan Hilal Ramadhan yang telah disampaikan oleh S.F Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Tepat jam 6.15 petang, Program Rukyah Hilal dijalankan bagi melihat anak bulan kelihatan ataupun tidak diufuk dan tepat jam 8.06 malam, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Mufti Negeri Perak mengumumkan bahawa anak bulan atau Hilal Ramadan adalah kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Segari.
Perkhabaran gembira tersebut disambut dengan ucapan takbir “Allahuakbar” oleh para hadirin yang hadir.
Objektif program adalah bagi mendorong umat islam melakukan kajian ilmiah berterusan kepada Bulan makluk ciptaan Allah selain menggalakkan umat islam menyambut Ramadan dengan merenung tanda kebesaran Allah semoga kita menjadi insan yang bertakwa.