
PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT POLITEKNIK UNGKU OMAR, IPOH KEARAH MENGKOMERSIALKAN KEINDAHAN PESISIRAN SUNGAI DINDING DI KAMPUNG BAHARU LUMUT.
23 September 2023 (Sabtu) – Aktiviti menanam pokok hiasan dan mengecat pembetong di pesisiran Sungai Dinding di Kampung Baharu Lumut menjadi inisiatif CSR 10 orang pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan 25 orang pelajar dari jurusan Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Ungku Omar, (PUO) Ipoh.
Menurut Encik Zahoreen Abdullah selaku Pengarah Program ini memaklumkan pihak PUO mengambil inisiatif untuk menambah keindahan kawasan pesisiran Sungai Dinding, Kampung Baharu Lumut yang merupakan pintu masuk destinasi pelancongan peminat bagi aktiviti memancing ke kawasan pendalaman sekitarnya seperti Kampung Teluk, Kampung Telaga Nanas, bawah jambatan Tunku Bainun dan ke kelong ikan dalam sangkar di Sungai Dinding.
Program CSR Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh ini telah mendapat kerjasama daripada Encik Manichalvan Muniadi, Ahli Majlis MPM Zon 10, Persatuan Bersih dan Indah Kampung Baharu Lumut dan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.
Objektif program ialah bagi mengukuhkan sefahaman dan hubungan strategik antara agensi dan memberi pendedahan kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam program kemasyarakatan kepada komuniti setempat.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kejuruteraan Awam, PUO Ipoh yang membantu membudayakan kelestarian alam sekitar dan membantu mengkomersialkan kawasan pesisir sungai Kampung Baharu Lumut.



