PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT KELESTARIAN SOSIAL DAN ALAM SEKITAR SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) MENCERIAKAN KOMUNITI NELAYAN.
5 Ogos 2024 (Isnin) – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Ibu Pejabat Kuala Lumpur dan SSM Negeri Perak telah mengadakan Bengkel Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan CSR (JPZCSR) di daerah Manjung.
Teluk Senangin dipilih sebagai lokasi program memandangkan lokasi tersebut memenuhi ciri-ciri keperluan yang diperlukan dengan memiliki asnaf, komuniti nelayan yang memerlukan bantuan dan tindakan khidmat masyarakat keatas pemuliharaan dan pemeliharaan pantai awam.
Program tersebut telah dihadiri oleh YBhg. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Ybrs. Tuan Rezy Izwan Ramly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Korporat merangkap Pengerusi JPZCSR SSM, Ybrs. Encik Farid Ahmad, Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat merangkap Timbalan Pengerusi JPZCSR SSM, Puan Azurah Nor Sarif, Pengarah SSM Negeri Perak dan kakitangan SSM serta sukarelawan daripada komuniti myKP Teluk Senangin, pelajar daripada Universiti Of London yang telah berkolaborasi bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Dalam memenuhi kelestarian alam sekitar aktiviti pembersihan sampah di pesisir pantai awam dan penanaman 5 pokok pelindung daripada spesis Merawan Siput Jantan (Hopea Odorata) dan 1 spesis Kiara Payung (Felecium Decipiens) turut diadakan.
Dalam aktiviti pembersihan pantai sebanyak 331 kg sampah sarap dapat dipungut dalam tempoh masa 1 jam sahaja sebagai sumbangan tanggungjawab sosial kepada kelestarian alam sekitar dan juga kemurahan hati pihak SSM menyantuni komuniti nelayan dengan menyumbangkan kotak makanan dan sumbangan wang tunai sebagai zakat kepada komuniti warga asnaf dan miskin yang terdapat disini. Semoga sumbangan amal jariah yang diberikan ini melipatgandakan lagi rezeki kepada pihak SSM dan anggotanya secara amnya.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang penuh berusaha dan dedikasi menjayakan program kemasyarakatan ini di kawasan perbandaran Manjung.