PROGRAM RAMAH MESRA PERSATUAN VETERAN TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (PVTLDM) NADI KESEPAKATAN KOMUNITI DAERAH MANJUNG.
11 Ogos 2024 (Ahad) – Daerah Manjung memang mempunyai keunikan tersendiri dimana salah satunya mempunyai pangkalan TLDM. Sebelum ini pangkalan TLDM adalah di Woodlands, Singapura.
Lumut menjadi pilihan adalah dari cetusan idea Tan Sri K. Thanabalisingam, anak Malaysia pertama dilantik sebagai Ketua Turus Tentera Laut @ Panglima Tentera Laut pada tahun 1967 disamping mempunyai geografi yang strategik dan kedalaman laut yang sesuai untuk dijadikan pangkalan tentera laut.
Hinggalah kini, daerah Manjung memiliki paling ramai komuniti perbandaran yang terdiri daripada anggota TLDM yang mengambil keputusan untuk bermastautin disini walaupun telah bersara. Maka tidak hairanlah terdapat nama taman perumahan yang mengabadikan perjuangan dan khidmat bakti anggota TLDM iaitu “Samudera” – Taman Samudera, Taman Samudera Baru, Pangsapuri Samudera dan lain-lain lagi. Keberadaan anggota TLDM di daerah ini mewarnai komuniti daerah Manjung.
Pada hari ini bertempat di Arena Square Taman Samudera telah diadakan Majlis Ramah Mesra Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Perak bagi menghargai dan menyantuni anggota dan keluarga TLDM.
YBhg. Senator (B) Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran Abd Hamid, Yang Dipertua PVTLDM Perak, YBhg. Laksamana Pertama Haji Jamaludin Haji Sairi, Komander Pangkalan Lumut merangkap Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 1 (TLDM), Mejar Noor Yahya Sulaiman, Pengarah JHEV Negeri Perak, YBhg. Dr. Haji Muhammad Fauzi Abd. Kadir, Pengerusi Tetap PVTLDM Cawangan Perak dan Majlis Perbandaran Manjung antara yang hadir bagi meraikan jasa-jasa pengorbanan veteran tentera.
Turut diadakan pada program ini ialah majlis penyampaian Sijil Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 75 orang veteran TLDM, pingat yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada seseorang bagi mengenang jasa dan pergorbanan yang diberikan oleh warga ATM yang bertugas menegakkan keamanan.
Sepadan dengan objektif PVTLDM juga turut menyantuni veteran dengan memberikan khidmat ‘one stop centre’ yang peka, cakna dan mendengar isu-isu permasalahan veteran dalam sumbangan kepada balu, sumbangan pelajaran kepada anak-anak veteran yang berjaya, skim bantuan kebajikan dan sosio ekonomi veteran.
Turut diadakan booth pameran perkhidmatan oleh pihak agensi dan swasta bagi membantu pihak persatuan komuniti veteran memperolehi maklumat yang efektif kearah mewujudkan komuniti veteran yang sejahtera.