PROGRAM “INISIATIF PENGHIJAUAN MANJUNG” SEMPENA LAWATAN ENVIROESCAPE TOURS 2.0 DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN POLITEKNIK UNGKU OMAR KE TAMAN PAYA BAKAU BANDAR LUMUT
7 Mei 2024 (Selasa)- Lebih 340 anak benih pokok bakau dapat di semai dan 20 anak pokok bakau ditanam oleh pensyarah dan 30 orang pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh di Taman Paya Bakau Bandar Lumut dalam program Inisiatif Penghijauan Manjung sempena lawatan “Enviroescape Tours 2.0” pelajar yang mengambil kursus Green Technology Compliance yang menjurus tentang teknologi dan amalan hijau ke arah menjamin kestabilan alam sekitar.
Program anjuran Diploma Pengajian Perniagaan Jabatan Perdagangan Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh itu telah mendapat kerjasama dari pihak Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Majlis Perbandaran Manjung.
Pelaksanaan program penanaman pokok bakau dan aspek menyemai anak benih dari spesis yang sesuai di pesisiran sungai adalah satu rancangan pembangunan jangka panjang yang diterap untuk kesinambungan kehidupan yang terbukti penting untuk kesejahteraan penduduk pesisir dari segi sosiol ekonomi dan keselamatan.
Objektif program seumpama ini dapat membantu, memberikan pendedahan, pendidikan dan kemahiran kepada pelajar dan memupuk kesedaran awam terhadap tanggungjawab sosial tentang kepentingan konservasi hutan bakau bagi menambah kawasan litupan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
Sokongan dan penglibatan agensi, swasta dan badan bukan kerajaan amatlah digalakkan untuk menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ketika ini dalam Kempen Penghijauan Malaysia : “Pokok Kita, Kehidupan Kita”.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang telah menjayakan aspirasi negara melalui program inisiatif seperti ini.