PROGRAM “INISIATIF PENGHIJAUAN MANJUNG” PERSATUAN AKTIVIS SAHABAT ALAM (KUASA) BERSAMA MR.DIY DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.
17 Jun 2023 (Sabtu), Sebanyak 1000 anak pokok bakau dapat ditanam sepanjang pesisir sungai di Changkat Keruing di Program Inisiatif Penghijauan Manjung pada pagi ini.
Program anjuran Mr.DIY Kuala Lumpur bersama Mr.DIY seluruh negeri Perak telah berkolaborasi bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Kelab Rakan Alam Sekitar UiTM Shah Alam, Persatuan Kebersihan dan Keindahan Changkat Keruing, Group Healing, Komuniti Segari, Komuniti Laman Karya Lumut, Rumah Kebajikan Diamond Home Ayer Tawar telah mendapat kerjasama daripada Unit Landskap MPM yang membantu membekalkan 1000 pancang buluh, pengangkutan anak pokok bakau dan bekalan lori tangki air untuk pembersihan diri peserta dan peralatan penanaman.
Turut hadir ke program ini ialah Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Clr. Lau Cheong Loong (Zon 18), Clr. Teong Duong Woon (Zon 15) dan Clr. Lim Gim Si (Zon 23).
Pelaksanaan program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai adalah satu rancangan pembangunan jangka panjang untuk kesinambungan kehidupan yang terbukti penting untuk kesejahteraan penduduk pesisir pantai dari segi sosiol ekonomi dan keselamatan.
Objektif program adalah untuk memberikan pendedahan, pendidikan dan kemahiran kepada peserta serta memupuk kesedaran awam terhadap tanggungjawab sosial tentang kepentingan konservasi hutan paya bakau bagi menambah kawasan litupan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
Sokongan dan penglibatan agensi, swasta dan badan bukan kerajaan amatlah digalakkan untuk menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam Kempen Penghijauan Malaysia : “Pokok Kita, Kehidupan Kita”.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada inisiatif swasta syarikat Mr.DIY, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), UiTM Shah Alam, Diamond Home, komuniti Changkat Keruing dan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung yang menjayakan aspirasi negara melalui program inisiatif seperti ini khususnya di daerah Manjung.