PROGRAM GOTONG-ROYONG KOMUNITI BBSAP MEMASANG BENDERA NEGERI PERAK SEMPENA HARI KEPUTERAAN DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
26 Oktober 2024, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Puan Tan Ko Shin bersama komuniti Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan bergotong-royong memasang bendera negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang akan disambut pada 1 November 2024 ini.
Inisiatif gotong-royong ini sebagai lambang taat setia kebawah DYMM Seri Paduka Sultan Perak Darul Ridzuan dan juga penghargaan kasih sayang rakyat terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang memayungi rakyat jelata negeri Perak dengan cara memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan dalam apa jua keadaan sekali pun sejak 29 Mei 2014.
Institusi Raja amatlah signifikan kepada kesejahteraan rakyat yang hidup berbilang kaum, bangsa, adat resam serta menganuti pelbagai agama. Di samping itu, Raja-raja adalah lambang keselamatan, kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Agensi kerajaan dan swasta, pemilik kediaman, premis perniagaan, industrial dan sebagainya amatlah dialu-alukan untuk menyemarakkan sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dengan melakukan perkara yang sama khususnya di daerah Manjung dan di negeri Perak amnya.
“Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”