PROGRAM GOTONG-ROYONG ANTARA AGENSI KERAJAAN WUJUD KEAKRABAN KERJASAMA.
5 Ogos 2023 (Sabtu) – Pagi tadi bertempat di Klinik Kesihatan Changkat Kruing, Ayer Tawar telah diadakan program gotong royong menebang dan melupuskan pokok kelapa sawit yang berusia hampir 40 tahun yang mampu mengundang bahaya kepada komuniti yang berurusan di klinik tersebut.
Encik Lau Cheong Loong, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 18 (Ayer Tawar) selaku ketua komuniti turut hadir menyertai program gotong-royong tersebut bersama-sama Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT), Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK), anggota Klinik Kesihatan Changkat Kruing dan anggota Majlis Perbandaran Manjung.
Program anjuran Klinik Kesihatan Changkat Kruing tersebut telah mendapat kerjasama dari Pasukan Penyelenggaraan Pokok Teduhan, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung. Program gotong-royong melibatkan usaha padu bersama kakitangan Klinik Kesihatan untuk meningkat kebersihan dan keselamatan di kawasan klinik, disamping menyemai nilai-nilai murni dan semangat kerjasama di kalangan warga kakitangan Klinik Kesihatan dan warga Pihak Berkuasa Tempatan.
Objektif program bukan sekadar bergotong royong namun apa yang lebih utama ialah dapat memupuk hubungan erat dalam meningkatkan keakraban hubungan strategik antara agensi kerajaan.