PROGRAM DEKORASI LANDSKAP MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG MENYERLAHKAN IDENTITI TERSENDIRI.
3 Ogos 2024 (Sabtu) – Ruang yang sempit dan terbiar tidak membataskan idea Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk menampilkan seni taman dengan usaha dan kreativiti yang berupaya menyerlah identiti tersendiri.
Hari ini, dengan bantuan ‘sentuhan’ kerjasama daripada 40 orang pelajar daripada Jurusan Sijil Teknologi Foundri (STF) dan Sijil Seni Bina (SSB) beserta 7 orang pensyarah Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut dan Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8 Majlis Perbandaran Manjung berganding bahu mengecat semula tayar dekorasi landskap di persimpangan jalan Ayer Tawar – Lebuhraya WCE Sitiawan Utara.
Encik Manichalvan A/L Muniandi, Ahli Majlis MPM Zon 8 (Sitiawan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) bagi zon tersebut bersama Encik Mohd Safawi Abdullah (IKM) dan Encik Azmir Zamzuri (Unit Landskap MPM) memanfaatkan sepenuhnya ruang terbuka di sekitar persimpangan jalan tersebut dan hasilnya, suasana persekitaran itu menawarkan suasana ceria dan menarik.
Sesekali, pemandu yang menunggu di lampu isyarat tersebut bolehlah menjeling mata ke kawasan yang menarik tersebut untuk menghilangkan ‘stress’ dan mendapat idea untuk membina dekorasi di rumah masing-masing.
Penghargaan dan terima kasih kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8 MPM yang sanggup untuk berjemur dibawah terik panas matahari untuk bersama-sama memperindahkan kawasan di perbandaran Manjung.