𝐏𝐀𝐒𝐀𝐑 𝐀𝐖𝐀𝐌 𝐀𝐘𝐄𝐑 𝐓𝐀𝐖𝐀𝐑 𝐁𝐀𝐊𝐀𝐋 𝐁𝐄𝐑𝐖𝐀𝐉𝐀𝐇 𝐁𝐀𝐑𝐔
3 Jun 2023 (Sabtu)
Pasar Awam Ayer Tawar, Manjung bakal berwajah baru apabila kerja menaik taraf pasar yang berusia 50 tahun itu akan diruntuh dan dibangunkan semula bermula tahun ini.
Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan telah mengadakan lawatan kerja ke Daerah Manjung, Perak.
Dalam lawatan tersebut, YB Menteri telah melawat Pasar Awam dan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 3.5 juta bagi meruntuh dan membina semula Pasar Awam Ayer Tawar. RM 1 juta akan diperuntukkan terlebih dahulu bagi pelaksanaan berperingkat mengikut fasa bermula tahun ini.
Selain daripada itu, terdapat 9 lagi projek yang telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu:
1. Menaik taraf Pasar Awam Beruas
2. Membina kiosk penjaja di Jalan Gapis, Seri Manjung;
3. Menaik taraf sistem pencahayaan sekitar Bandar Seri Manjung dan Lumut;
4. Menaik taraf pencahayaan sekitar Pantai Kulit Kerang, Pantai Remis;
5. Membekal dan memasang pagar dari jenis anti-climb di sekitar Dewan Terbuka Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Pulau Pangkor;
6. Menaik taraf sistem perpaipan di tandas awam Teluk Nipah 2, menyelenggara slab di laluan tapak pembuangan sampah Teluk Cempedak dan menukar bumbung jenis kaca pada gerai jualan no. 5 di Kota Belanda, Teluk Cempedak;
7. Mengecat semula garisan jalan di Zon A, Seri Manjung;
8. Membaik pulih dan menyelenggara bumbung kawasan gerai di Teluk Batik.
9. Projek Pembangunan Infrastruktur dan Pengindahan Kampung Baru di daerah Manjung.
Jumlah peruntukan yang telah diluluskan oleh KPKT sebanyak RM 5.23 juta kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan.
Turut hadir semasa lawatan kerja tersebut ialah YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Negeri Perak; YB Dato’ Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Kawasan Beruas; YB Tuan Azman Bin Noh, ADUN Pangkalan Baharu; YB Puan Wong May Ing, ADUN Pantai Remis; YB Tuan Jason Ng Thien Yeong, ADUN Astaka; YBhg. Datuk Saidatu Akhma Binti Hassan, Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Dan Persekitaran Mampan) KPKT; YBhg. Dato’ Mohd Fadzli Bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan serta Pengurusan Tertinggi KPKT dan ketua jabatan peringkat negeri dan daerah.
MPM merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada YB Menteri di atas Lawatan Kerja dan peruntukan yang telah diberikan.