MAJLIS SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA (HARA) 2020 DAN PELANCARAN BUKU PELAN ANTIRASUAH ORGANISASI (OACP) MPM TAHUN 2021 – 2025
Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2020 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Tahun 2021 – 2025 telah berlangsung pada hari ini, jam 10.00 pagi.
Majlis ini dihadiri oleh YBhg. Dato‘ Haji Mohd. Fauzi Haji Mohamad, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua MPM, Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran, Encik Muhamad Hasnizam Dakir, Ketua Unit Undang-undang dan Integriti MPM, Ahli-ahli Majlis, Pengarah-pengarah dan Ketua-ketua Jabatan/Unit MPM serta para pegawai SPRM.
Semasa program ini, telah diadakan upacara simbolik imbasan Kod QR HARA 2020 oleh Yang Dipertua, diikuti sesi menandatangani “Janji Warga PBT Perangi Pemberi Rasuah” oleh Yang Dipertua, sesi bacaan ikrar melibatkan pihak pengurusan tertinggi, Ahli-ahli Majlis dan barisan Pengarah, Ketua Jabatan/Unit MPM serta penyerahan bahan kempen HARA 2020 daripada SPRM kepada MPM.
OACP MPM merupakan panduan kepada warga kerja MPM dan pihak berkepentingan dalam usaha memantapkan governans dan integriti agar setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan sentiasa bebas daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Penyediaan dokumen ini selaras dengan penggubalan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 dan seiring dengan aspirasi Kerajaan agar Malaysia dikenali dengan integriti dan bukannya rasuah.
UNIT KORPORAT DAN PERHUBUNGAN AWAM,
MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG