
Majlis Perasmian Simbolik Usahasama antara United Nations Development Program (UNDP) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) serta NGO dan persatuan daerah bagi pelancaran projek kelestarian pelancongan telah berlangsung petang tadi di Dewan Anjung Perdana, Majlis Perbandaran Manjung. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak , YB Loh Sze Yee , YB ADUN Pantai Remis, YB Wong May Ing dan juga wakil dari United Nations Development Program yang juga Ketua Unit, Pembangunan Inklusif & Kemakmuran, Encik Asfaazam Kasbani. Turut hadir, Tuan Syamsul Hazeman, Yang Dipertua MPM, En. Helmi bin Arifin, Setiausaha Perbandaran MPM,Ahli-Ahli Majlis,Pengarah-Pengarah Kanan dan Pengarah-Pengarah Jabatan serta Unit MPM.
Projek Pelancongan Lestari adalah antara usaha Kerajaan untuk menangani kesan pandemik COVID-19 ke atas sektor pelancongan domestik dengan meningkatkan daya tahan dalam kalangan komuniti dan perniagaan, serta menambah baik pengurusan risiko untuk mengurangkan impak negatif dan potensi eksploitasi aset semula jadi dan budaya. Disamping itu, kesedaran tentang kelestarian yang menyokong keseimbangan yang mampan antara aktiviti berkaitan pelancongan dan melindungi alam sekitar, perpaduan, kesaksamaan gender dan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan akan diterap dan ditingkatkan. Melalui projek ini, pihak UNDP akan memberikan khidmat nasihat teknikal, input polisi pelancongan tempatan, latihan meningkatkan kapasiti institusi kerajaan, NGO dan juga komuniti berkaitan antaranya.
Daerah Manjung telah terpilih bersama 2 lagi daerah iaitu Mersing, Johor dan Setiu, Terengganu bagi menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan melalui United Nations Development Program untuk pelaksanaan projek pelancongan lestari yang bakal memberi impak positif dalam pembangunan dan kelestarian pelancongan daerah berteraskan Sustainable Development Goals (SDG).
Pulih Art Studio, Laman Karya Lumut (LAKAR), Persatuan Kutien Ayer Tawar dan Aktivis Sahabat Alam(KUASA) telah dipilih bagi menjayakan projek tersebut bersama-sama Majlis Perbandaran Manjung dan UNDP. Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah seperti Kelas Seni bagi Pelajar OKU, Penghasilan kraf dan hasil seni komuniti daerah, Seni Mural jalanan dan juga aktiviti pemeliharaan taman paya bakau bandar. Diharapkan pelaksanaan projek kelestarian pelancongan yang melibatkan komuniti daerah Manjung ini akan dapat diteruskan dan diperluaskan di masa akan datang.
Majlis Perbandaran Manjung merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan United Nations Development Program (UNDP) diatas peluang usahasama ini.


