MAJLIS PELANCARAN LESEN PREMIS DIGITAL MYPATIL MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG
Majlis Pelancaran Lesen Premis Digital myPATIL Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah berlangsung pada hari ini, jam 10.00 pagi di Dewan Merdeka, MPM.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak. Turut hadir ialah Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua MPM, Puan Mufidah Mahfodz, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perandaran MPM, YBhg. Dato’ Muhammad Jamil Ishak, Pengerusi Eksekutif Gates IT Solution Sdn. Bhd., Ahli-ahli Majlis MPM, Ketua-ketua Jabatan Daerah Manjung, barisan Pengarah, Ketua Jabatan dan Ketua Unit MPM, Rakan Niaga myMANJUNG Biz, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak media.
Dalam ucapan aluannya, Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak di atas sokongan yang diberi kepada MPM bagi membangunkan Lesen Premis Digital myPATIL ini dan pelaksanaan inisiatif ini ialah untuk menjadikan “MPM sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang melaksanakan lesen premis digital dan bayaran tanpa tunai pada tahun 2021”.
Manakala YB Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi dalam ucapannya merakamkan syabas dan tahniah kepada MPM kerana mengambil langkah proaktif ini dan pencapaian ini amat membanggakan Kerajaan Negeri Perak. Beliau yakin bahawa inisiatif ini akan memperkasakan kaedah pemantauan lesen premis perniagaan semasa dan seterusnya menangani kompleksiti yang dihadapi oleh PBT dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan lesen premis perniagaan dengan secara sistematik, telus dan sinergi khususnya ketika mendepani era baharu ekoran penularan COVID-19. Selain itu, beliau berharap agar langkah ini akan menjadi inspirasi kepada PBT-PBT lain di negeri Perak untuk membudayakan pendigitalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
MyPATIL adalah lesen premis digital pertama di Malaysia yang berasaskan teknologi pintar internet of things (iot) bagi menggantikan kaedah lesen konvensional dalam bentuk kertas dan papan lesen sedia ada di semua premis perniagaan berlesen di daerah Manjung.
Pemasangan peranti pintar myPATIL di premis-premis perniagaan bermula pada 10 November hingga 20 Disember 2021 melibatkan 7,000 premis perniagaan berlesen di daerah Manjung. Lesen ini memberi pelbagai manfaat kepada para peniaga dan juga PBT khususnya dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan pelesenan.