LAWATAN AKADEMIK DIPLOMA UKUR BANGUNAN UiTM CAWANGAN PERAK KE MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG
16 Mei 2025 (Khamis) – Program Lawatan Kajian Tapak Diploma Ukur Bangunan oleh Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi UiTM Cawangan Perak selama 2 hari (14-15hb) di kawasan Lumut Waterfront dan sekitar Pekan Lumut diakhiri dengan sesi taklimat oleh pihak MPM sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengalas tanggungjawab untuk memenuhi peranan dan tugas-tugas dibawah Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Pihak MPM berbesar hati untuk berkongsi ilmu kepada 43 orang pelajar Diploma Ukur Bangunan dan 1 orang pensyarah dibawah pimpinan Sr. Mariaty Mohd Bahari sebagai peniup semangat dan memberi sentuhan ilmu kepada para pelajar yang sedang mendalami subjek yang sedang di pelajari.
Puan Norhayati Abdul Rahim, Pengarah Kanan Jabatan Khidmat Pengurusan dalam ucapan alu-aluan menzahirkan tahniah kepada pihak UiTM Cawangan Perak yang melaksanakan kerjasama dan hubungan bersama pihak MPM sepertimana MoU 3 tahun yang dimenterai oleh kedua-dua belah pihak pada 4 Oktober 2023.
Pelbagai ilmu berkaitan telah dikongsikan oleh barisan Pengarah-Pengarah dan Pegawai MPM meliputi Proses Pertimbangan Pelan Pemajuan melalui Unit Pusat Setempat (OSC), Kepentingan Permohonan Kebenaran Merancang oleh Jabatan Perancang Bandar, Proses Permohonan Pelan Bangunan Sehingga Pengeluaran Sijil Penyiapan dan Pematuhan dan juga taklimat berkaitan Penguatkuasaan Bangunan Tanpa Kelulusan dan Aduan Awam yang dilaksanakan oleh MPM.
Objektif lawatan yang bertujuan memenuhi perkongsian ilmu berkenaan prosedur kawalan bangunan dibawah pentadbiran MPM dalam memberi pendedahan kepada para pelajar sedikit sebanyak membantu memenuhi keperluan silibus BST253 Building Design.
Pihak Majlis Perbandaran Manjung mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UiTM Cawangan Perak diatas kunjungan mesra ini dan diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan disamping berkongsi pengalaman dan pengetahuan untuk kebaikan akademik pelajar.