KIBARAN BENDERA NEGERI PERAK SEMPENA KEPUTERAAN DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
Bersempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah pada 6 November 2020, semua bangunan dan agensi kerajaan, premis-premis perniagaan serta persendirian di seluruh negeri diwajibkan untuk mengibarkan bendera negeri Perak.
Pemasangan bendera ini merupakan lambang taat setia kepada DYMM Tuanku sebagai Raja Pemerintah di negeri Perak dan penghargaan rakyat terhadap baginda.
Sehubungan dengan itu, Majlis Perbandaran Manjung menyeru agensi-agensi Kerajaan dan premis-premis perniagaan mengibarkan bendera dan digalakkan menyalakan lampu di bangunan masing-masing berkuat kuasa serta-merta sehingga pukul 12.00 tengah malam pada 5 November 2020.
Tindakan kompaun akan diambil oleh Majlis Perbandaran Manjung terhadap premis-premis yang gagal mematuhi arahan mengibarkan bendera negeri Perak di premis masing-masing.
Tindakan kompaun ini merupakan langkah terakhir yang akan diambil oleh Majlis Perbandaran Manjung sekiranya mendapati usaha menasihati gagal dipatuhi oleh pemilik-pemilik premis di kawasan perbandaran Manjung.
Sekian, harap maklum.
UNIT KORPORAT DAN PERHUBUNGAN AWAM,
MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG