INISIATIF PERSATUAN PENDUDUK TAMAN PERUMAHAN RAPATKAN UKHWAH KOMUNITI MELALUI GOTONG-ROYONG MEMASAK BUBUR ASYURA.
20 Julai 2024 (Sabtu) – Persatuan Penduduk Taman Desa Maju, Sitiawan, Persatuan Kebajikan Penduduk Taman Kiara, Sitiawan dan KRT Kampung Serdang mengadakan program merapatkan ukhwah di kalangan komuniti dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur asyura bersama kejiranan taman perumahan masing-masing.
Jika tiada kesepakatan antara komuniti memang sukar untuk dilaksanakan program ini di kawasan kejiranan moden seperti sekarang. Namun berkat kesungguhan dan disiplin bermula daripada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk mereka mampu merubah keadaan.
Bubur asyura merujuk kepada peristiwa asal-usul yang bersandar kepada apa yang berlaku keatas Nabi Nuh A.S dan umatnya yang terselamat dari banjir besar dan taufan. Bubur adalah makanan pertama yang dimasak diatas muka bumi yang terdiri daripada pelbagai bijirin dan kekacang.
Asyura yang bermaksud Sepuluh adalah hari yang kesepuluh dalam bulan pertama dalam kalendar Islam yang dipanggil 10 Muharam. Hari yang mana dinukilkan sebagai hari Nabi Nuh A.S dan umatnya terselamat.
Namun, apa yang lebih afdal dari peristiwa tersebut ialah amalan gotong-royong memasak bubur, mengagihkan dan memberi makan kepada orang miskin, orang susah yang terdapat di taman kejiranan yang kita huni di kawasan perbandaran ini merupakan sebahagian daripada tausi’ah yang dapat meluaskan rezeki disamping mengeratkan hubungan harmoni di kalangan komuniti di perbandaran Manjung.