
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐀𝐏𝐑𝐄𝐒𝐈𝐀𝐒𝐈 𝐌𝐀𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐊𝐔 𝐏𝐄𝐑𝐁𝐀𝐍𝐃𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐊𝐌𝐔𝐑 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐍𝐂𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐍 𝐒𝐓𝐑𝐀𝐓𝐄𝐆𝐈𝐊 𝐌𝐏𝐌 𝟐𝟎𝟐𝟒-𝟐𝟎𝟑𝟎
29 JANUARI 2024 (ISNIN) – Telah berlangsung Majlis Apresiasi Manjungku Perbandaran Manjung dan Pelancaran Pelan Strategik Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 2024-2030 pada jam 2.00 petang di Dewan Merdeka, MPM.
Majlis ini khas diadakan bagi memberi penghargaan pengiktirafan kepada Ahli-ahli Majlis, Agensi-agensi Kerajaan, pihak swasta, usahawan/peniaga, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti setempat, rakan-rakan media dan lain-lain lagi yang melibatkan 28 kategori anugerah. Mereka selama ini telah banyak memberi sumbangan dalam meningkatkan kualiti sistem tadbir urus MPM yang mana ia sangat membantu perkembangan ekonomi setempat dan memberi sumbangan aktif dalam kegiatan ekonomi, sukan, sosial dan kemasyarakatan.
Selain itu, turut diadakan pelancaran Pelan Strategik MPM 2024-2030 iaitu dokumen yang mengandungi 5 teras strategik yang berperanan sebagai panduan dan rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan melibatkan pelbagai aspek termasuk sistem tadbir urus dan pembangunan sebagai strategi Menuju Bandar Raya Pelancongan dan Maritim.
Perasmian telah disempurnakan oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak. Turut memeriahkan majlis ialah YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Dato’ Shaharudin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YB Dato’ Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Beruas, YB Puan Wong May Ing, ADUN Pantai Remis, YB Encik Jason Ng Thien Yeong, ADUN Astaka, YB Encik Rosli Abd Rahman, ADUN Pasir Panjang, YB Puan Norhaslinda Zakaria, ADUN Pangkor, Encik Mohd Zainal Mohd Nor, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT, Puan Haslinda Alias, Timbalan Pengarah Kanan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, Ketua-ketua jabatan/wakil agensi peringkat negeri Perak dan daerah Manjung, Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua MPM, Ahli-ahli Majlis MPM dan Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran MPM.



