
𝐂𝐄𝐑𝐀𝐌𝐀𝐇 “𝐃𝐔𝐍𝐈𝐀 𝐉𝐀𝐌𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄 𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑𝐀𝐓” 𝐎𝐋𝐄𝐇 𝐃𝐀’𝐈 𝐈𝐙𝐙𝐇𝐀𝐑 𝐍𝐀𝐙𝐑𝐈
24 JANUARI 2025 (JUMAAT) – Ceramah bertajuk “Dunia Jambatan ke Akhirat” telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Anjung Perdana, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada jam 8.30 pagi yang dihadiri Pengarah Kanan dan warga kerja MPM. Ceramah ini disampaikan oleh pendakwah terkenal, Da’i Izzhar Nazri, yang berjaya menyentuh hati para hadirin melalui penyampaian beliau yang penuh hikmah dan pengajaran. Sesi penyampaian cenderamata telah disampaikan oleh Encik Nafees Hashim selaku Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan, MPM kepada Da’i Izzhar Nazri sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu yang sangat bermakna. Turut hadir semasa sesi ceramah ini Pengarah Kanan MPM serta warga kerja MPM.
Ceramah ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara, sebagai persediaan menuju akhirat yang kekal abadi. Dengan mengupas kisah-kisah penuh inspirasi daripada al-Quran dan sunnah, Da’i Izzhar Nazri mengajak para hadirin untuk memperbaiki amalan, memperkukuh iman, dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah dengan lebih bersungguh-sungguh.
MPM merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Da’i Izzhar Nazri atas perkongsian ilmu yang begitu bermanfaat dan penuh makna. Semoga mesej yang disampaikan dapat membekas di hati para hadirin dan menjadi pemangkin ke arah kehidupan yang lebih diredhai Allah.

