MENU
 
>

MESYUARAT STRUKTUR BINAAN TAMBAHAN DI ATAS RIZAB LONGKANG DAN JALAN LORONG BELAKANG TANPA KELULUSAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Pagi hari ini, jam 10.30 pagi telah berlangsung mesyuarat di antara Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Indah Water Konsortium (IWK) bersama wakil penduduk Rumah Murah Pangkor di Pejabat MPM Cawangan Pangkor. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua MPM dan turut dihadiri oleh Encik Sazali Dol Kamid, Ketua Operasi IWK Daerah Manjung, Tuan Haji Asmadi Teh, Ahli Majlis MPM Zon 1, Encik Omar Ahmad, wakil Pejabat ADUN Pangkor, Ts Mohd Rohaizan Abdul Aris, Ketua Jabatan Bangunan dan pegawai-pegawai MPM.

Perbincangan ini adalah hasil inisiatif YB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, ADUN Pangkor bersama MPM bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan yang telah berlarutan selama hampir 20 tahun yang dihadapi oleh penduduk setempat iaitu berkaitan kacau ganggu bau busuk kerana tangki septik yang tersumbat.

Hasil pemeriksaan mendapati rumah di kawasan tersebut telah membuat struktur tambahan di belakang rumah sehingga menutupi penutup tangki septik IWK dan saluran longkang serta menghalang IWK dan MPM untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.

Perbincangan ini bertujuan untuk mencapai kesepakatan berkenaan isu struktur binaan tambahan di atas rizab longkang dan jalan lorong belakang tanpa kelulusan MPM dan menghalang kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di kawasan rumah kos rendah.

Hasil perbincangan tersebut, keputusan bersama oleh kesemua pihak yang terlibat telah dipersetujui dengan mengambil kira pandangan penduduk dan budi bicara daripada MPM demi kesejahteraan komuniti setempat.

MPM menyeru seluruh penduduk di daerah Manjung untuk mematuhi undang-undang dalam pembinaan rumah dengan mendapatkan khidmat nasihat melalui saluran yang betul dan memohon kelulusan dari MPM sebelum melaksanakan penambahan binaan rumah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang.

UNIT KORPORAT DAN PERHIBUNGAN AWAM,

MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 
 
 
 
0
People reached
3
Engagements
3a
Kemaskini Terakhir: Khamis, 25 November 2021 - 12:02pm