MENU
 
>

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BIL. 2/2022 DAN SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN PERINGKAT MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG TAHUN 2022

2 SEPTEMBER 2022 (JUMAAT) - Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) hari ini bergegar dengan semangat kemerdekaan yang membara apabila Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 2/2022 dan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat MPM diraikan dengan jayanya oleh warga kerja MPM.

Acara dimulakan sebaik sahaja ketibaan Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua yang diiringi Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran serta barisan Pengarah, Ketua Jabatan dan Ketua Unit serta Ahli-ahli Majlis MPM.

Majlis diteruskan dengan persembahan kawad formasi dan istiadat menaikkan bendera Malaysia oleh Penguatkuasa MPM yang kemudian disusuli dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Perak dan Lagu Maju Bersama MPM.

Tema Hari Kebangsaan Ke-65 ialah “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” di mana nilai KEBERSAMAAN menjadi tonggak utama tema ini. Nilai kebersamaan ini yang diharapkan daripada seluruh warga kerja untuk memacu MPM supaya terus berdaya saing, maju dan sentiasa memberikan perkhidmatan Terbaik kepada masyarakat.

Semasa majlis ini, Yang Dipertua telah menyampaikan Anugerah PekerjaTerbaik,Jabatan Terbaik dan Pekerja Pejabat Cawangan Terbaik bagi bulan April, Mei, Jun dan Julai tahun 2022 serta Sijil Penghargaan Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) tahun 2021. Turut diadakan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Mewarna Poster Merdeka, Pemenang Pakaian Terbaik(Hari Mewarna) dan Pakaian Terbaik Hari Kemerdekaan 2022 bagi Kategori Pahlawan (lelaki) dan Srikandi (wanita).

Persembahan Drama Muzikal yang mengisahkan tentang perjuangan rakyat Tanah Melayu menentang penjajah British turut mencuri perhatian. Majlis ini diakhiri dengan nyanyian lagu Saya Anak Malaysia yang disampaikan dengan penuh semangat.