MENU
 
>

PERUTUSAN YANG DIPERTUA

  ydp

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Manjungku Makmur, Bandar Pelancongan dan Maritim.

 

Terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan kudrat, iradat dan inayah-Nya, kita dapat mengharungi tahun 2021 dengan lancar dan jayanya serta diberi keizinan untuk melangkah ke tahun 2022.

Saya bersyukur kerana sepanjang tahun 2021, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah memperoleh pelbagai pencapaian terutamanya dalam aspek teknologi maklumat dan komunikasi walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19. Selaras dengan agenda Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2021 iaitu memantapkan sistem penyampaian awam serta memacu pemodenan dan budaya pendigitalan, MPM telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan gerbang perkhidmatan dalam talian myMANJUNG pada 1 Julai 2021 dan dilancarkan pada 19 Julai 2021.  Kewujudan aplikasi myMANJUNG telah meningkatkan kualiti sistem perkhidmatan apabila para pelanggan tidak perlu lagi berurusan di Kaunter Perkhidmatan Pelanggan MPM selaras dengan usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang tidak menggalakkan urusan secara fizikal atau bersemuka.   

 

Selain itu, MPM turut melancarkan Lesen Premis Digital myPATIL pada 9 Disember 2021 yang merupakan lesen premis digital pertama di Malaysia berasaskan teknologi pintar Internet of Things (IOT) bagi menggantikan kaedah lesen konvensional dalam bentuk kertas dan papan lesen sedia ada di semua premis perniagaan berlesen di daerah Manjung.  Kewujudan lesen premis digital ini memberi pelbagai manfaat kepada para peniaga dan MPM.  Justeru, saya berharap agar komuniti di daerah Manjung dapat memanfaatkan kemudahan yang diperkenalkan ini untuk berurusan secara mudah dan pantas dengan MPM yang juga sebagai langkah membiasakan diri dalam menghadapi perubahan cara hidup yang berteraskan teknologi digital.

 

Pada tahun 2021, MPM telah mendapat Anugerah Emas dalam Regional Innovation Showcase on Team Excellence (RISTEx) Peringkat Wilayah Utara bagi Projek BDR@MPM dan Water Hunter, Anugerah Gangsa dalam Virtual Melaka International Intelectual Exposition (V-MIIEX) bagi projek Laman Dekorasi (Kategori Innovation dan Outbreak-vention), tempat pertama Kategori Tandas Awam Bersih bagi Pengiktirafan PBT Cemerlang Sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan, pengiktirafan Pematuhan Standard  Accounting System for Government Agencies (SAGA) Bagi Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan, Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) atau ISO/IEC 27001: 2013  bagi Pengurusan Aduan Awam Menggunakan Sistem ePBT dan tempat pertama bagi Kategori 1 : Pencegahan Penularan COVID-19 di Tempat Kerja dalam Pertandingan Inovasi dan Intervensi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Perak 2021.

Justeru, pihak pengurusan MPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak yang sentiasa memberi peluang, khidmat nasihat dan sokongan serta agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan seluruh komuniti di kawasan perbandaran Manjung yang telah membantu MPM mencapai kejayaan ini.

 

Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2022 dan semoga semua perancangan yang telah disusun dapat dilaksanakan dengan jayanya agar MPM lebih berdaya saing dan memperoleh pencapaian yang lebih cemerlang serta komuniti perbandaran Manjung terus hidup dalam keharmonian dan kesejahteraan.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

(SYAMSUL HAZEMAN BIN MD SALLEH, AMP.)
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Manjung.

 

Kemaskini Terakhir: Rabu, 18 Mei 2022 - 9:16am