Perutusan YDP

 

PERUTUSAN YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perak Amanjaya.

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, dapat kita bersua dan berkesempatan melaksanakan amanah yang diberi.

Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebagai Pihak Berkuasa Tempatan berperanan sebagai urband manager yang mentadbir semua hal-ehwal perbandaran seperti penyediaan kemudahan awam, pelesenan dan kebersihan, sebagai urban planner yang merancang pembangunan bandar dan sebagai urban regulator yang menguatkuasakan undang-undang. Sehubungan dengan itu, sebagai peneraju baharu pucuk pimpinan MPM mulai 17 Ogos 2015, saya akan memastikan supaya tanggungjawab tersebut dilaksanakan dengan baik.

Pada kesempatan ini, saya memohon sokongan dan kerjasama yang berterusan daripada semua pihak sebagaimana semasa era kepimpinan terdahulu bagi memantapkan lagi sistem pengurusan MPM dan membangunkan kawasan perbandaran Manjung.

Bentuk sokongan yang diperlukan daripada Jabatan-jabatan Daerah Manjung, pihak swasta khususnya pemaju, kontraktor, pelabur, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan komuniti setempat adalah dengan bersama-sama merencana dan memacu pembangunan kawasan perbandaran Manjung, menyertai program-program sosiokemasyarakatan yang dilaksanakan, melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang diguna pakai oleh MPM, memelihara kebersihan persekitaran bandar, menghargai harta awam dan mengemukakan cadangan dan pandangan yang berkualiti khususnya berkaitan mutu sistem penyampaian perkkhidmatan MPM kepada masyarakat.

Dengan penglibatan yang optimum daripada semua pihak, semoga semua perancangan MPM pada tahun ini akan terlaksana dengan jayanya dan komuniti kawasan perbandaran Manjung hidup dalam limpahan kesejahteraan, sentiasa bersatu padu dan harmoni.

Sekian, terima kasih.

(AZIZAN BIN HAJI ABD. MUIN, PMP., AMP., PPT.)
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Manjung.