MENU

14 APRIL 2013 (AHAD) – Kerajaan Negeri Perak dan Berita Harian serta dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengadakan Karnival Pertandingan Memancing Pusingan Kedua GP Joran Berita Harian 2013 di Pantai Teluk Senangin, Lumut.

Program selama 2 hari yang bermula pada 13 April 2013 (Sabtu) ini diadakan bagi mempromosikan daerah Manjung di kalangan pengunjung luar dan memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati kepelbagaian produk pelancongan di sekitar Manjung terutamanya Lumut dan Pulau Pangkor yang merupakan salah satu ikon pelancongan di Perak. Program ini diserikan dengan persembahan artis tempatan pada 13 April 2013 (Sabtu), jam 9.00 malam termasuk Zamani Slam dan Rahmat Mega.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah diadakan pada 14 April 2013 (Ahad), jam 2.00 petang di lokasi yang sama dan disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato' Zamri Man, Yang Dipertua MPM. Antara tetamu yang hadir semasa majlis ini adalah Y.Bhg. Datuk Ahmad A.Talib, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Y.Bhg. Datuk Kamarul Shahid, Pengarang Kumpulan Berita Harian dan Tuan Haji Musa Dun, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak.

Peserta dari Negeri Sembilan iaitu Encik Shahrizam Abdul Hamid telah menjuarai kategori Laut dengan membawa pulang wang tunai RM 25,000. Manakala juara bagi kategori Pantai pula adalah Encik Anuar Zainuddin dari Perak yang memperolehi wang tunai RM 20,000. Pada tahun ini, sebuah PERODUA Myvi disediakan sebagai hadiah utama bagi kategori Laut Dalam dan PERODUA Viva Elite pula hadiah bagi kategori Pantai. Pertandingan ini disertai 1,200 peserta dan dihadiri kira-kira 8,000 pengunjung.

Pertandingan ini turut ditaja oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA), Nestle (M) Sdn. Bhd., Adabi Consumer Sdn. Bhd., TCE Tackles Sdn. Bhd., UFL-Coleman Sdn. Bhd., Syarikat Zulkifli Bamadhaj Sdn. Bhd., Catalyst Nutraceutical (M) Sdn. Bhd. dan PSB International (UC Travel) Sdn. Bhd.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 18 September 2019 - 3:19pm