MENU

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Perak Aman Jaya dan Salam Manjungku Makmur, Bandar Pelancongan dan Maritim.

 

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan kudrat, iradat dan inayah-Nya, kita diberi kesempatan untuk bertemu lagi pada tahun 2018 ini.

Pada kesempatan ini, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada para pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan termasuk jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan komuniti kawasan perbandaran Manjung.

Saya bersyukur kerana sepanjang tahun 2017, MPM telah memperoleh pelbagai pengiktirafan seperti Anugerah Penarafan 5 Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2016 (PBT ke-2 terbaik di negeri Perak dan ke-9 terbaik di Malaysia), tempat Kedua Celebrating Visit Perak Year 2017 @ My Perak Green and Clean (Kategori PBT Terbaik) dan pensijilan MS ISO 9001 : 2015 melibatkan 46  prosedur kualiti dan pengurusan.

Di samping itu, MPM turut terlibat dalam penganjuran program-program perdana peringkat antarabangsa, nasional dan negeri sepanjang tahun 2017 yang antaranya ialah Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) 8 dan Program Permukiman YAB Menteri Besar di  Daerah Manjung.

Sehubungan dengan itu, MPM ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk komuniti kawasan perbandaran Manjung yang sentiasa prihatin dan proaktif dalam memberi idea bernas yang menjadi input penting bagi memantapkan lagi sistem pengurusan MPM dan menjayakan program-program yang dianjurkan.

Agenda MPM pada tahun 2018 ialah untuk meningkatkan pencapaian dalam aspek pengurusan kualiti dan inovasi, mengenal pasti dan memperhalusi cabaran semasa serta meneruskan usaha bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkualiti, bersistematik dan berintegriti untuk memenuhi ekspektasi masyarakat.

Akhir kata, semoga semua perancangan yang telah disusun pada tahun ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya, MPM memperolehi kejayaan yang lebih cemerlang, berinovatif, berdaya saing dan komuniti kawasan perbandaran Manjung hidup dalam limpahan kesejahteraan, sentiasa bersatu padu dan harmoni.

 

Sekian, terima kasih.

 

(DATO’ MOHAMAD FARIZ BIN MOHAMAD HANIP, DPMP. PMP., AMP.)
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Manjung.

Kemaskini Terakhir: Selasa, 13 November 2018 - 11:44am